Skip navigation

Oleh Dr Abdul Rashid Ahmad

QANAAH ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”

Allah berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama sudah mengemukakan beberapa cara untuk memiliki sifat mulia ini antara lain ialah pertama, berjimat dalam perbelanjaan dan merancang perbelanjaan. Kedua, percaya bahawa dengan qanaah mendatang kemuliaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tegasnya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya.

Dalam sejarah umat Islam, tercatat beberapa kisah mereka yang murah hati antaranya, diceritakan bahawa Abdullah bin `Amir membeli sebuah rumah kedai daripada Khalid bin `Uqbah dengan harga 90,000 dirham.

Tiba-tiba pada malam itu, dia mendengar anak isteri Khalid menangis. Lalu dia bertanya kepada isterinya: “Apa hal mereka itu?” Kemudian dia diberitahu bahawa mereka menangis kerana rumah mereka yang dijual.

Lantas Abdullah berkata kepada pembantunya: “Pergi dan suruh mereka datang ke sini.” Selepas mereka datang lalu dia terus menyatakan bahawa ambillah rumah itu kembali dan duit itu juga untuk kamu.

Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini.

Artikel diambil dari http://nurjeehan.hadithuna.com/2008/06/sifat-qanaah-didik-jiwa-sentiasa-bersyukur/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: